HALANGAN-HALANGAN UNTUK MELAKSANAKAN ISLAM BAGI MENGATASI SEGALA KEMELUT HARI INI

Halangan utama untuk melaksanakan Islam dari pandangan kerohanian atau kesufian ialah nafsu kita sendiri. Ibarat pepatah Melayu yang mengatakan ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Tidak perlu kita melihat faktor-faktor luaran selagi nafsu kita tidak diproses. Nafsu ialah musuh utama yang harus diperangi dan jahanamnya umat akhir zaman adalah disebabkan bakhil dan angan-angan. Erti bakhil itu janganlah kita sempitkan pemikiran kita kepada bakhil harta. Orang yang bakhil harta, itu lagilah bakhil namanya.

  

Erti bakhil ialah bakhil amal dan banyak angan-angan,bakhil tangannya untuk gerak bekerja (malas bekerja dan berzikir),bakhil kakinya berjalan untuk hal-hal yang bermanafaat,bakhil matanya untuk melihat yang muktabar,bakhil telinganya untuk mendengar Quran dan Hadis,bakhil perutnya untuk berlapar dan bakhil untuk mendapatkan wali Allah di mana mereka berada.

Di sini, patutkah kita menyuruh mereka yang mencari kita! Itu sombong namanya! Tuhan tidak beri taufik dan hidayah pada orang yang zalim.

Selagi dunia belum kiamat, selagi itu wali Allah atau orang Allah akan ada. Kesilapan kita ialah kita terlalu banyak melihat contoh-contoh wali Allah yang telah mati, seolah-olah tidak ada lagi orang Allah hari ini. Pemikiran kita ini bertentangan dengan apa yang telah Allah janjikan.

Bermunajatlah kepada Allah agar kita diketemukan dengan mereka. Wali Allah tidak akan kita temui dengan nafsu kita. Mereka tersembunyi kerana kotornya dunia hari ini dengan segala fitnah dan serangan ke atas orang-orang Allah. Nafsu Ammarah sifatnya memang selalu sahaja tidak senang dengan orang Allah. Ibarat siang dan malam ,ia tidak akan bercampur.

Penyamar dan penipu memburukkan lagi nasib orang-orang Allah, dan keadaan ini semua memang telah Allah janjikan akan berlaku. Umat akhir zaman memang telah Allah qodo’kan jauh daripada Allah kerana zulmah kehidupan yang memuliakan kuasa, pangkat, kebendaan, yang mana semua ini adalah kerana tinggi atau besarnya nafsu Ammarah mereka. Semoga kita dilindungi oleh Allah Taala daripada bala akhir zamannya ini.

Kesimpulan Tuhan telah mengajar kita aturcara untuk mematikan musuh-musuh yang ada dalam sel-sel kita. Pengalaman ini, kaedah ini, Allah Taala telah ajarkan kepada rasul-rasul, nabi-nabi dan para aulia. Bagi mereka yang ingin mengikut jejak langkah para rasul dan para aulia, hendaklah ia banyak mengingati kebesaran Allah S.W.T.

“Ketahuilah! dengan mengingati Allah itu dapat menenangkan hati (yang terasa cemas terhadap selain Allah S.W.T.)”

Tiada kedamaian, tiada ketenangan bagi orang kufar dan syirik. Ketenangan dan keselesaan hanya Tuhan anugerahkan kepada orang-orang beriman dan bertakwa kepada Allah, walaupun dirinya sebatang kara dan sehelai sepinggang. Kekayaan dan kesihatan yang baik juga tidak akan boleh mententeramkan jiwa.

Hanya selepas kita menggempur nafsu Ammarah dan Lawammah kita sahaja, barulah kita dapat mengatasi segala kemelut dan melaksanakan Islam dengan hati dan jiwa yang seikhlas-ikhlasnya kepada Allah kerana Allah sangat menginginkan keikhlasan hamba-hamba-Nya, contohnya firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud: ‘Bumi-Ku tidak cukup untuk-Ku. Langit-Ku juga tidak cukup untuk-Ku. Yang cukup untuk-Ku ialah hati hamba-hamba-Ku yang mukmin’.